Thursday, January 12, 2017

Kenapa aku diuji?




Kadang-kala dalam kehidupan, kita sering lupa untuk bersyukur. 
Kita lupa siapa sebenarnya yang telah menjadikan kita. 
Kita lupa siapa sebenarnya yang telah memberi kebahagiaan kepada kita. 
Kita sering lupa bahawa Allah itu wujud untuk kita bukan tika kita susah sahaja. 
Lupa. Lupa dan terus Lupa. 
Kerana itulah sifat semula jadi setiap manusia. 
Mencari Sang Pencipta hanya bila kita perlu. 
Membentang tikar sejadah apabila kita memerlukan pertolongan-Nya,
Membaca Kalam Allah apabila hati tidak tenteram dirundum malang, 
Menadah tangan memohon tiap tiap permintaan kita dikabulkan. 

Tapi sedarkah kita apabila kita sedang diambang kebahagiaan, 
Tapi sedarkah kita apabila kita sedang berada di puncak dunia, 
Tapi sedarkah kita apabila kita sedang diulit mimpi lena, 
Pernah kah sekali kita mengucap syukur kepada-Nya?

Allah Maha Adil. 
Tidak akan selamanya seseorang itu sentiasa berada di puncak dan tidak akan selamanya seseorang itu sentiasa berada di dasar. 

Justeru, hadirnya ujian yang diturunkan oleh Dia untuk para hamba-Nya sebagai tanda kasih dan sayang. Kerana sifat ujian itu sendiri ialah hadiah. Allah menguji seseorang itu kerana Allah SWT mempunyai rahsianya yang tersendiri. Sama ada Dia hendak menambah iman kita atau hendak menguji sejauh mana keimanan kita. Alangkan sifat iman manusia itu sendiri adakala turun adakala naik.

Ujian dan mehnah itu juga lah yang membuka mata hati kita, 
yang akan mengajar kita supaya menjadi lebih positif, 
yang akan mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan.
yang dapat membangkitkan manusia dari kelalaian dan kealpaan dunia,
yang mampu mengejutkan kita dari mimp dunia yang panjang,
Supaya kita dapat memandang kehidupan itu lebih dari satu sisi dan satu sudut.


Kenapa kita diuji? 
Sehingga kita mempersoalkan kepada Allah kenapa kita diberi ujian yang berat? 

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya… " ( Al-Baqarah: 286)
Di dalam Al-Quran, sudah terang lagikan bersuluh bahawa Dia tidak akan sekali-kali menguji hamban-Nya di luar kemampuan Hamba-Nya. Yakin la kita bahawa hanya Allah mengetahui kekuatan sebenar diri kita dalam menghadapi setiap satu ujian-Nya. 

"Ya Allah, aku lemah. Aku tidak mampu mengatasi ujian mu yang ini."
"Ya Allah, aku tak sanggup diuji sebegini"
"Ya Allah, aku tak kuat dengan ujian ini"
"Ya Allah, kenapa aku yang kau uji?"
"Ya Allah, apa lagi musibah yang kau datangkan ini?"
"Ya Allah, kenapa aku !" 

Setiap manusia tidak akan lari dari keluhan, rintihan dan persoalan yang saban hari meniti di bibir-bibir atau berlegar-legar di fikiran kita. Dan sedarkah kita bahawa setiap ungkapan yang kita lafazkan itu telah menjadikan kita seakan-akan marah pada DIA kerana ujian-ujian yang tidak putus tiba.

Pernah atau tidak kita terfikir, apabila kita muhasabah kembali, sebenarnya ujian ujian yang diberi ini menjadikan kita sebagai hamba-Nya yang beruntung.
Kerana Allah hanya mengurniakan ujian hanya kepada hambaNya yang terpilih.
Kerana Allah datangkan ujian kepada hamba-Nya yang dikasihi dan disayangiNya.
Di dalam setiap ujian, sebenar-benarnya terdapat juga pertolongan dari Allah.
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan  (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). "
(Al-Baqarah: 214) 
Apakah kudrat setiap hamba-Nya yang kerdil lagi dipenuhi dosa ini untuk menolak ujian daripada-Nya?
Siapa kita untuk mengatakan tidak kepada Sang Pencipta kita?
Siapa kita untuk menjangka bilakah ujian itu akan tiba?

Allah Maha Mengetahui segala-galanya, sedangkan kamu tidak.
Berfikir secara rasional dan matang, sematang usia dan pemikiran kita.
Mungkin tanpa ujian-ujian ini, kita masih lagi seorang hamba yang hanyut dan lemas dalam lautan kealpaan duniawi.

Muhasabah diri, refleks diri kita dan menilai kembali segala prasangka buruk yang pernah diungkap saat kita diuji. Inilah saat untuk kita mengubah apa yang bermain di dalam fikiran kita dan mula memandang ujian itu sebagai sebuah 'hadiah' dan bukannya bebanan.

Apabila kau jatuh, kau bangun, dan kau mula semula! 
Walau satu dunia tidak sudi membantu, 
ingatlah bahawa kita punya Allah yang sedia membantu. 

Sekian, Moga bermanfaat.













No comments:

Post a Comment